Saturday, November 28, 2009

FOKUS KEBANGKITAN DARI SEBUAH KESILAPAN


1) Manusia tidak pernah terlepas daripada membuat kesilapan

2) Seorang mukmin tidak akan membiarkan sebuah kegagalan gagal menjadi mehnah ( didikan berterusan daripada Allah ) buat dirinya.

3) Dalam surah Yussuf - Allah menegaskan betapa manusia yang cepat berputus asa dari rahmatNya bukanlah di kalangan hambaNya yang beriman. Antara sifat orang beriman, apabila mendengar ayat-ayat Al-Quran, makin utuh keyakinan, makin bergetar jiwa, seraya mereka tunduk dan patuh padanya. Adakah Allah bermain-main sewaktu berkata pada rasulNya - sesungguhnya Aku bersama orang-orang yang sabar?! Sabar bukan hanya tika mendapat ujian, sabar juga perlu tika menjauhi maksiat dan dosa. Malah sabar juga amat penting tika melakukan ketaatan padaNya. Berjuang tanpa sabar - salah faham besar yang menganggu gugat jiwa para daie.

4) Hari ini kita terjaga lagi, masih belum terlewat untuk merancang sebuah perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik menuju akhirat.

5) Langkah pertama yang perlu dicapai, buang jauh-jauh segala perkara yang mengingatkan kita semula kepada kesilapan agar fokus perubahan tidak terganggu. Ucapkan selamat tinggal pada semua dan berdoa bersungguh-sungguh padaNya agar tidak bertamu lagi di ruang gelap itu.

6) Pandang destinasi visi, nun jauh di sana, usah menoleh lagi. Bina persekitaran baru dengan memperbaharui diri terlebih dahulu.

7) Sasarkan beberapa target perubahan peringkat demi peringkat dan catatkan yang telah berjaya dicapai. Paling baik, di cermin agar ia memotivasikan semangat kita setiap hari.

7) Apabila sudah merealisasikan 2 atau 3 sasaran perubahan, muhasabah kembali kesilapan silam agar kita tidak lupa apabila galak terbang menggapai cita-cita. Jangan dekati dosa yang sama sampai bila-bila.

Salam mujahadah!

Read more...

Friday, November 6, 2009

Usrah 7 : Wanita di mata Syed Nursi

Petikan ini saya petik daripada sebuah blog yang tidak saya kenali, cuma saya yakin empunyanya adalah seorang mujahid soleh insyaAllah. Sebelum kepada perkongsian mengenai Syed Nursi, saya ingin berkongsi kata-kata seorang ulama yang menggetarkan jiwa hingga membuatkan jantung saya hampir luruh..

"Dianjurkan bagi seorang penuntut ilmu untuk membujang sebisa mungkin, agar dalam mencari ilmu ia tidak disibukkan dengan hak-hak keluarga yang harus ia penuhi dan disibukkan dengan mencari penghidupan."

(Khatib al-Baghdadi)

Allahuakhbar, hebatnya mereka para pencinta ilmu. Jujurnya saya terus terpegun dengan blog ini, ternyata benar ia taman ulama. Saya jatuh cinta akan pengisian-pengisiannya. Kisah perihal ulama, akhlak mereka yang ikhlas lagi tawajjuh terhadap amalan diredhai Allah, amat mengasyikkan hingga membuatkan kita melupai sebentar hiruk pikuk dunia dan ingin berlari bertemu mereka. Namun seketika, malu dan sedih juga menguasai.

" Layakkah aku berkawan dengan mereka? "

http://tamanulama.blogspot.com/

Sungguh mencintai ulama, terasa dekatnya dengan Nabi, hampirnya hati pada Allah. Rindu kepada kematian - jalan untuk menemui yang dicintai - meneriak-neriak semangatnya. Bimbangnya hati kerana mudah berbolak balik. Selamatkan Ya Allah. Kukuhkan Ya Robbi..

" Ya Allah, kuatkan aku dijalanMu agar diriku tetap dilangkahMu. Bukan kemuliaan yang dicari di sini, namun ku usaha yang terbaik untuk Islam agar ku tidak malu mempersembahkan amalanku padaMu, ya Illahi..Amin." Rayu seorang hamba yang sering berdosa.

Wanita...lembut dalam pandangan mata...tapi bisa menggugat isi dunia"

"Wanita...kerananya lelaki menerobos tembok besi, gagah menjulang risalah Nabi.... Wanita...kerananya lelaki terjerumus ke lembah kibir firauni, melapah manusiawi..."

Said Nursi pernah menceritakan, betapa pentingnya seorang perempuan. Hinggakan dikhususkan sebuah risalah di dalam Rasail al-Nur bertajuk "Murshid al-Akhawaat". Penghargaan Nursi terhadap bondanya sangat tinggi. Bonda Nursi bernama Nurriyye.

Nursi menukilkan, segala ilmu dan kelebihan yang dimilikinya adalah berpunca daripada bazrah (benih) yang telah disemai oleh bondanya itu. Tanpa bondanya menyemai benih yang baik sejak kecil, mana mungkin hatinya cenderung untuk berada di lebuhraya yang terus menghala ke akhirat ini. Faktor primernya adalah asuhan dan didikan bondanya yang sungguh tinggi taqwa dan wara'nya. Guru-guru dan masyaikhnya pula bertanggungjawab menyuburkan benih hasil semaian bondanya itu. Tapak kukuh dibina oleh bondanya Nursi sendiri, tidak orang lain.

Semasa Nursi masih kecil, kelebihannya begitu terserlah di kalangan teman sebaya malah yang lebih besar dibanding Nursi. Kelebihan Nursi terserlah dari sudut kecerdasan dalam pelajaran, mahupun kekuatan fizikalnya. Gurunya pernah menziarahi keluarga Nursi untuk melihat faktor yang membentuk peribadi unik Nursi ini. Masya Allah...kawan-kawan nak tahu, bila ditanya pada Nurriyye bonda Nursi itu, apakah rahsia di sebalik kelebihan anak-anaknya itu? Nurriyye penuh tawadhuk menjelaskan, "saya tidak meninggalkan solat malam sejak dahulu, kecuali ketika uzur syar'ie...dan saya tidak akan menyusukan anak-anak tanpa ada wudhuk"

Tahulah gurunya...tidak mustahil ibu seperti ini, akan melahirkan anak seperti Nursi. Ketaqwaan dan kewara'an ayahanda Nursi juga tidak terkecuali. Ayahandanya yang dikenali sebagai Sufi Mirza tidak akan memberi makan keluarganya dari sebarang unsur syubahat. Hatta ternakannya dipastikan tidak memakan rumput-rumput milik orang lain, beliau akan mengikat mulut lembu-lembunya sehingga sampai di ladangnya sendiri baru dilepaskan. Ini semata-mata, memastikan hasil susu dan daging yang akan dijamu pada keluarganya tidak tercemar dengan harta orang lain. Masya Allah, Tabarakallah.


Sejak berusia, sembilan tahun, Nursi telah terpisah dari bondanya. Ketika mendengar berita bondanya telah kembali ke rahmatullah, menangislah Nursi yang ketika itu dalam buangan jauh sama sekali dari keluarga dan kampung halaman. Pemergian bondanya diumpakan seolah hilanglah separuh dari dunianya...Ya Baqi, Anta al-Baqi, Ya Baqi, Anta al-Baqi.. Hasbunallahhu wa ni'mal wakil, ni'mal mawla wa ni'man nasir.

Nursi sangat menghargai makhluk yang bergelar perempuan. Beliau mengingatkan makhluk yang begitu cantik kejadiannya ini supaya tidak sampai menjadi bidadari Jahannam. Lantaran tenggelam dalam arus dunia yang penuh tipu daya. Mempergunakan segala kelebihan kurniaan Allah untuk merosakkan lelaki dan membawa fitnah dahsyat di akhir zaman. Hati-hatilah wahai wanita...

Nursi mempertegaskan, wanita adalah hulubalang atau perwira kepada tajalli sifat Jamal Allah. Wanita adalah hero kepada sifat rahmah, ra'fah, hanan dan syafaqah. Sifat-sifat ini guna untuk mendidik keluarga, suami dan anak-anak. Bukan guna buat merosak lelaki. Bukan pula memburu persamaan hak. Lelaki dan perempuan punya tanggungjawab yang berbeza, sebab itu dikurnia fisiologi dan psikologi yang juga berbeza. Lelaki dan perempuan tidak pernah ada persaingan atau perlumbaan dalam dunia ini, kerana tidak akan ada sesiapa yang menang. Dua makhluk ini tidak perlu bersaing sama sekali, malah perlu lengkap melengkapkan. Allah menjadikan lelaki dan perempuan adalah untuk saling menyempurnakan. Masing-masing punya tugas dan tanggungjawab. Masing-masing punya taklif. - end-

Pandangan Saya

Saya secara peribadi berpandangan tegas, penglibatan muslimah dalam lapangan gerak kerja dakwah haruslah seimbang dengan peranan utama mereka di rumah. Ia boleh jatuh hukum haram mereka bergerak kerja apabila tanggungjawab di rumah terabai. Dalam meneliti permasalahan zaman semasa, keterlibatan muslimah dalam gerakan dakwah masyarakat untuk menyelamatkan wanita-wanita lain dan mengizzahkan Islam berdasarkan kurniaan potensi yang ada, adalah merupakan satu tuntutan. Di sini perlunya sokongan dan dokongan para muslimin selaku suami atau sahabat atau saudara mahupun ahli keluarganya lain dalam membantu seorang muslimah itu memaksimakan peranannya sebagai hamba Allah baik di rumah selaku pendidik generasi pejuang mahupun di lapangan dakwah untuk sebaran Islam.

Kita tidak dapat menafikan faktor kemajuan pendidikan kini menyebabkan adakalanya seorang muslimah itu dikurniakan kelebihan intelektual dan ketajaman fikiran misalnya - antara faktor terpenting dalam kepimpinan - maka ia adalah satu keperluan untuk disumbangkan demi pengizzahan Islam. Bukan status sama rata mahupun KPI setara dengan lelaki yang dikejar. Namun, hanya mahu memberi yang terbaik untuk gerakan dakwah Islam, di mana KPInya adalah redha Allah selagimana tidak bertembung fitnah.

Alangkah indahnya apabila seorang suami mewaqafkan isterinya di jalan perjuangan di samping membantu memimpin dan memperkukuhkan peranannya sebagai mujahidah kerana Allah. Namun, sekiranya berlaku dilema di mana terdapat pengabaian terhadap tanggungjawab sebenar di rumah sehingga menimbulkan fitnah seperti anak-anak dan suami apabila sudah berkahwin, atau dengan ibu bapa pada yang masih bujang, pulanglah dan pulihkan keadaan. Lunaskan kewajipan yang menuntun ke arah redhaNya terlebih dahulu kemudian baru diseimbangkan dengan tugasan dakwah yang merupakan bonus perjuangan.

Memang penat membahagi-baagi diri kepada semua komitmen.

Benarlah kata hukama' - kerehatan sebenar adalah di syurga kelak . Begitu juga waktu bercinta bersungguh-sungguh .Wallahu'alam.

Read more...

Wednesday, November 4, 2009

Bebanan Seorang Blogger

Jika saya punya keresahan, saya gemar membaca blog sendiri di samping membaca blog sahabat-sahabat dan juga blog orang lain.

Membaca blog sendiri, terutama artikel-artikel terdahulu, mengimbas kenangan selain memuhasabah peningkatan amalan kehidupan sendiri.

Artikel-artikel penulisan tentang amalan, taqarrub pada Tuhan, sebenarnya saya tulis untuk diri sendiri selain untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat sebagai motivasi dan peringatan bersama.

Saya sedar, apa jua nasihat yang kita rakamkan di blog, akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak sejauhmana penghayatannya terhadap diri kita. Masakan ada ahli gerakan dakwah tarbiah melupai amaran surah As-Soff pada dirinya?

Saya yakin ramai rakan-rakan blogger di luar sana juga seperti saya, hanya mengharapkan agar blog mampu memjadi alat dakwah kepada sahabat-sahabat lain yang ingin mengenali Islam dengan lebih mendalam. Juga mengharapkan blog mampu menjadi salah satu amalan asbab Allah rela kepada kami bukan mendekatkan kami kepada nerakaNya.

Apabila blog kita menjadi salah satu tempat yang sering dikunjung, maka menjadi tanggungjawab blogger untuk memimpin pembaca. Selain menjaga amalan dan penulisan, ia secara tidak langsung menggalakkan budaya pembacaan buku dan pembelajaran penaakulan maklumat dengan baik di kalangan blogger. Bukankah ini membantu peningkatan potensi kebaikan di kalangan umat Islam untuk kebangkitan Islam? Cabar mencabar untuk menjadi yang terbaik. Apatah lagi apabila dikritik ideanya, mencabar beliau menjadi yang lebih baik.

Apapun, seekurang-kurangnya, kami harap apabila kami mati, ada ilmu dan pengalaman ditinggal yang kekal kami wariskan menerusi blog..doakan kami ya..=)

Read more...

Kuasa Sebuah Senyuman Untuk Seorang Muslim

Sebelum menjadi seseorang di dalam GAMIS, saya pernah menjadi ahli biasa, pernah juga menjadi pemerhati luar gerakan dakwah tarbiah malah juga pernah berada di barisan musuh memusuhi gerakan dakwah tarbiah.

Menjadi pemerhati luar gerakan dakwah tarbiah, saya pernah merasa didiskriminasikan oleh orang yang bertudung labuh mahupun ustaz-ustaz alim, sementelah pakaian saya tika itu masih tidak cukup syarat. Memori yang masih utuh tika umur menganjak 20 tahun. Usah ditanya nama al-banna, sedangkan Al-Mathurat pun saya masih merangkak tika itu. Al-Quran sudah lama tidak dijenguk sesudah khatam buat pertama kali.

Mereka hanya berkumpul sesama mereka bercerita perihal agama. Bercerita dengan tahap kefahaman yang tinggi lantas membuatkan diri saya rasa terasing.Ini tidak mengapa. Namun yang cukup menghiris, tiada sekuntum senyuman persahabatan dihulur buat saya yang masih mencari. Lantas mengakibatkan prejudis menggunung di minda saya.

"Aku ni tak cukup baik ke? " . Prejudis bercampur sedih dan marah. Mengingati kenangan itu, saya tersenyum sendirian kini . Mungkin itu juga yang bakal menerjah tingkap perasaan manusia-manusia yang berhadapan dengan saya sekiranya saya tidak melemparkan senyuman kepada mereka. Tidak kira siapa, tidak kira agama, tidak kira bagaimana rupa mereka. Senyuman kasih Islam, senyuman persahabatan.

Saya tenang melihat kembali senyuman balas daripada adik-adik free hair yang mencari jalan mengenal Islam, senyuman sayang daripada mak cik pak cik yang gembira dengan kehadiran kita.

Masih terkenang sebuah program yang membuka mata saya perihal kewujudan gerakan dakwah tarbiah. Sesudah setahun berhasil merapati kakak-kakak yang baik, saya berpeluang mengikuti sebuah program tarbiah yang menjadi titik pemula saya menemui matlamat hidup. Entah mengapa, seolah-olah satu rasa yang amat tenang meresapi jiwa saya tika itu.

Air mata mengalir tanpa henti. Sesudah 21 tahun hidup baru saya tahu sejarah kejatuhan umat Islam. Tika umur ini baru saya mengerti mengapa saya diciptakan. Merasai nikmat ini, lantas sebuah janji saya ukir.

"KeranaMu Allah, yang menemukan aku dengan jalan ini, biar apapun yang terjadi, takkan ku berpatah balik ya Allah. Akan ku terus mara memperjuang Islam dan nasib umat Rasulullah biar apapun terjadi...Apapun Ya Allah, Engkau tahu kudratku lantaran diriku punyai kelemahan seorang hamba,.bantulah aku ya Allah, kuatkan aku dengan persahabatan dan peneman di kalangan orang-orang yang mencintaiMu, agar apabila aku lemah, dan hampir tersasar, mereka hadir untuk mengingatkan diriku. Dan ku mohon, ku merayu padaMu, jangan engkau tinggalkan aku keseorangan apatah lagi tanpa cintaMu dalam meredah perjuangan yang penuh liku ini..."
Semuanya bermula kerana persahabatan seorang kakak, naqibah pertama saya yang saya kira bukan sekadar naqibah tapi dialah kakak saya dunia akhirat - Sit Nadiah Mohd Ali.

Kerana senyumannya, persaudaraan terbina lantas memudahkan saya menerima seruannya kepada mendalami Islam, agama sendiri yang satu tika dahulu asing penghayatannya bagi saya.

Kini, saya masih gusar sekiranya terdapat mereka yang berpakaian lengkap syaratnya, masih lagi meletakkan harga yang mahal bagi sebuah senyuman.

Senyuman melambangkan hati anda. Mencerminkan aura yang ingin anda sampaikan buat teman anda. Ia menandakan permulaan ke arah berbunga-bunganya keceriaan Islam.Bagaimana anda mahu berdakwah sekiranya anda sendiri tidak memprodukkan diri dengan kecantikan ISLAM?

Senyuman bagi seorang pemimpin ibarat senjata berterusan agar ia menjadi inspirasi buat penyokongnya. Apatah lagi apabila ia berlalu tenang dengan senyuman apabila dikritik hebat musuh.

Senyuman dapat menumbangkan musuh yang amarah. Senyuman dapat menyejukkan jiwa yang parah.

Senyuman adalah manifestasi ketenangan dalam diri. Tidak mampu untuk senyum, bererti anda tidak tenang.

Anda tidak tenang mungkin kerana hati anda penuh dengan kebencian.

Anda tidak tenang mungkin kerana hati anda penuh prasangka.

Anda tidak tenang mungkin kerana hati anda penuh dengan maksiat, tewas dengan syaitan.

Anda tidak tenang kerana anda terlupa akan nikmat-nikmatNya.

Anda tidak tenang mungkin kerana tiada senyuman Allah untuk anda pada saat itu lantaran dirimu sudah jauh dariNya.

Carilah kekuatan untuk senyum semula. Senyumlah, senyumlah.. =) Senyum salah satu faktor utama kekuatan usrah, salah satu senjata kebangkitan Islam.

Read more...

Hati umat Islam berkarat jika meninggalkan zikir

Jiwa orang selalu ingat Allah sentiasa bening, tenang walaupun banyak masalah hidup

ORANG dalam hatinya terpancar keimanan kukuh, akan selalu giat berusaha sepanjang langkah usianya untuk bertaqarub kepada Allah kerana didorong rasa cinta mendalam terhadap-Nya. Kasih sayang dan kecintaan kepada Allah menjadikan seseorang itu sentiasa rindu pada-Nya.

Ibarat seorang anak muda sedang mabuk asmara, selalu terkenang-kenang si buah hatinya. Orang yang beriman, ingatannya tetap bergetar tulus kepada-Nya tanpa mengira waktu dan tempat. Bagi mukmin sejati, zikir dan hati adalah satu nyawa, tidak boleh dipisahkan.

Ia ditegaskan Ibn Taimiyah: “Zikir bagi hati adalah umpama air bagi ikan, bagaimana keadaan ikan apabila berpisah daripada air?”

Inilah gambaran orang beriman, yakin percaya kepada Allah dan menginsafi diri tidak lebih sebagai seorang hamba sangat lemah yang selama ini menerima nikmat Allah tidak terhitung banyaknya.

Hal ini menepati firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; dan bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.” (Surah al-Ahzab, ayat 41-42)

Kebanyakan masyarakat faham zikir hanya kata-kata yang dilafazkan saban kali habis menunaikan solat fardu, solat sunat atau membisik doa ketika ingin makan, memulakan sesuatu kerja yang baik, terjaga dan tidur serta bersin.

Padahal hakikat zikir kepada Allah sebenarnya tidak tertentu kepada zikir lisan semata-mata seperti mana ditegaskan Al-Imam An-Nawawi, bahawa zikir tidak terbatas kepada tasbih, tahlil, takbir dan lain-lain zikir lisan, mereka yang bekerja kerana Allah juga orang yang berzikir kepada Allah.

Pendapat beliau disokong Basri Ibrahim Al-Azhari dalam bukunya Salah Faham Terhadap Konsep Ibadah, Ilmu dan Zikir, bahawa setiap orang yang taat kepada Allah, mengikut segala diperintahkan dan meninggalkan dilarang oleh-Nya dikira sebagai orang yang berzikir.

Zikir terbahagi kepada tiga bahagian iaitu zikir hati, lidah dan anggota. Zikir hati memikirkan keagungan dan kebesaran Allah di bumi, langit dan seluruh kejadian makhluk-Nya. Zikir lidah pula melantunkan puji-puji kepada Allah, mensyukuri nikmat kurniaan-Nya, menyeru masyarakat ke arah ajaran Islam, menerangkan kebaikan syarak, menjelaskan hikmah pada perintah dan larangan Allah, memberi nasihat kepada sesama Islam.

Sementara zikir anggota pula menggunakan anggota badan untuk melakukan amalan ketaatan, sama ada dalam bentuk melakukan segala suruhan atau meninggalkan segala larangan Allah.

Orang yang lupa atau lalai kepada Allah, hatinya selalu dirundung resah gelisah, tenggelam dalam kebimbangan dan sengaja meletakkan dirinya di tempat mengundang kemurkaan Allah lantaran tidak rasa bersalah terhadap kemungkaran dilakukan.

Lupa kepada Allah menandakan hati seseorang itu sudah berkarat dengan sifat mazmumah yang sangat keji.

Read more...

ISTIMEWA UNTUK GERAKAN MAHASISWA ISLAM!!

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP