Friday, November 6, 2009

Usrah 7 : Wanita di mata Syed Nursi

Petikan ini saya petik daripada sebuah blog yang tidak saya kenali, cuma saya yakin empunyanya adalah seorang mujahid soleh insyaAllah. Sebelum kepada perkongsian mengenai Syed Nursi, saya ingin berkongsi kata-kata seorang ulama yang menggetarkan jiwa hingga membuatkan jantung saya hampir luruh..

"Dianjurkan bagi seorang penuntut ilmu untuk membujang sebisa mungkin, agar dalam mencari ilmu ia tidak disibukkan dengan hak-hak keluarga yang harus ia penuhi dan disibukkan dengan mencari penghidupan."

(Khatib al-Baghdadi)

Allahuakhbar, hebatnya mereka para pencinta ilmu. Jujurnya saya terus terpegun dengan blog ini, ternyata benar ia taman ulama. Saya jatuh cinta akan pengisian-pengisiannya. Kisah perihal ulama, akhlak mereka yang ikhlas lagi tawajjuh terhadap amalan diredhai Allah, amat mengasyikkan hingga membuatkan kita melupai sebentar hiruk pikuk dunia dan ingin berlari bertemu mereka. Namun seketika, malu dan sedih juga menguasai.

" Layakkah aku berkawan dengan mereka? "

http://tamanulama.blogspot.com/

Sungguh mencintai ulama, terasa dekatnya dengan Nabi, hampirnya hati pada Allah. Rindu kepada kematian - jalan untuk menemui yang dicintai - meneriak-neriak semangatnya. Bimbangnya hati kerana mudah berbolak balik. Selamatkan Ya Allah. Kukuhkan Ya Robbi..

" Ya Allah, kuatkan aku dijalanMu agar diriku tetap dilangkahMu. Bukan kemuliaan yang dicari di sini, namun ku usaha yang terbaik untuk Islam agar ku tidak malu mempersembahkan amalanku padaMu, ya Illahi..Amin." Rayu seorang hamba yang sering berdosa.

Wanita...lembut dalam pandangan mata...tapi bisa menggugat isi dunia"

"Wanita...kerananya lelaki menerobos tembok besi, gagah menjulang risalah Nabi.... Wanita...kerananya lelaki terjerumus ke lembah kibir firauni, melapah manusiawi..."

Said Nursi pernah menceritakan, betapa pentingnya seorang perempuan. Hinggakan dikhususkan sebuah risalah di dalam Rasail al-Nur bertajuk "Murshid al-Akhawaat". Penghargaan Nursi terhadap bondanya sangat tinggi. Bonda Nursi bernama Nurriyye.

Nursi menukilkan, segala ilmu dan kelebihan yang dimilikinya adalah berpunca daripada bazrah (benih) yang telah disemai oleh bondanya itu. Tanpa bondanya menyemai benih yang baik sejak kecil, mana mungkin hatinya cenderung untuk berada di lebuhraya yang terus menghala ke akhirat ini. Faktor primernya adalah asuhan dan didikan bondanya yang sungguh tinggi taqwa dan wara'nya. Guru-guru dan masyaikhnya pula bertanggungjawab menyuburkan benih hasil semaian bondanya itu. Tapak kukuh dibina oleh bondanya Nursi sendiri, tidak orang lain.

Semasa Nursi masih kecil, kelebihannya begitu terserlah di kalangan teman sebaya malah yang lebih besar dibanding Nursi. Kelebihan Nursi terserlah dari sudut kecerdasan dalam pelajaran, mahupun kekuatan fizikalnya. Gurunya pernah menziarahi keluarga Nursi untuk melihat faktor yang membentuk peribadi unik Nursi ini. Masya Allah...kawan-kawan nak tahu, bila ditanya pada Nurriyye bonda Nursi itu, apakah rahsia di sebalik kelebihan anak-anaknya itu? Nurriyye penuh tawadhuk menjelaskan, "saya tidak meninggalkan solat malam sejak dahulu, kecuali ketika uzur syar'ie...dan saya tidak akan menyusukan anak-anak tanpa ada wudhuk"

Tahulah gurunya...tidak mustahil ibu seperti ini, akan melahirkan anak seperti Nursi. Ketaqwaan dan kewara'an ayahanda Nursi juga tidak terkecuali. Ayahandanya yang dikenali sebagai Sufi Mirza tidak akan memberi makan keluarganya dari sebarang unsur syubahat. Hatta ternakannya dipastikan tidak memakan rumput-rumput milik orang lain, beliau akan mengikat mulut lembu-lembunya sehingga sampai di ladangnya sendiri baru dilepaskan. Ini semata-mata, memastikan hasil susu dan daging yang akan dijamu pada keluarganya tidak tercemar dengan harta orang lain. Masya Allah, Tabarakallah.


Sejak berusia, sembilan tahun, Nursi telah terpisah dari bondanya. Ketika mendengar berita bondanya telah kembali ke rahmatullah, menangislah Nursi yang ketika itu dalam buangan jauh sama sekali dari keluarga dan kampung halaman. Pemergian bondanya diumpakan seolah hilanglah separuh dari dunianya...Ya Baqi, Anta al-Baqi, Ya Baqi, Anta al-Baqi.. Hasbunallahhu wa ni'mal wakil, ni'mal mawla wa ni'man nasir.

Nursi sangat menghargai makhluk yang bergelar perempuan. Beliau mengingatkan makhluk yang begitu cantik kejadiannya ini supaya tidak sampai menjadi bidadari Jahannam. Lantaran tenggelam dalam arus dunia yang penuh tipu daya. Mempergunakan segala kelebihan kurniaan Allah untuk merosakkan lelaki dan membawa fitnah dahsyat di akhir zaman. Hati-hatilah wahai wanita...

Nursi mempertegaskan, wanita adalah hulubalang atau perwira kepada tajalli sifat Jamal Allah. Wanita adalah hero kepada sifat rahmah, ra'fah, hanan dan syafaqah. Sifat-sifat ini guna untuk mendidik keluarga, suami dan anak-anak. Bukan guna buat merosak lelaki. Bukan pula memburu persamaan hak. Lelaki dan perempuan punya tanggungjawab yang berbeza, sebab itu dikurnia fisiologi dan psikologi yang juga berbeza. Lelaki dan perempuan tidak pernah ada persaingan atau perlumbaan dalam dunia ini, kerana tidak akan ada sesiapa yang menang. Dua makhluk ini tidak perlu bersaing sama sekali, malah perlu lengkap melengkapkan. Allah menjadikan lelaki dan perempuan adalah untuk saling menyempurnakan. Masing-masing punya tugas dan tanggungjawab. Masing-masing punya taklif. - end-

Pandangan Saya

Saya secara peribadi berpandangan tegas, penglibatan muslimah dalam lapangan gerak kerja dakwah haruslah seimbang dengan peranan utama mereka di rumah. Ia boleh jatuh hukum haram mereka bergerak kerja apabila tanggungjawab di rumah terabai. Dalam meneliti permasalahan zaman semasa, keterlibatan muslimah dalam gerakan dakwah masyarakat untuk menyelamatkan wanita-wanita lain dan mengizzahkan Islam berdasarkan kurniaan potensi yang ada, adalah merupakan satu tuntutan. Di sini perlunya sokongan dan dokongan para muslimin selaku suami atau sahabat atau saudara mahupun ahli keluarganya lain dalam membantu seorang muslimah itu memaksimakan peranannya sebagai hamba Allah baik di rumah selaku pendidik generasi pejuang mahupun di lapangan dakwah untuk sebaran Islam.

Kita tidak dapat menafikan faktor kemajuan pendidikan kini menyebabkan adakalanya seorang muslimah itu dikurniakan kelebihan intelektual dan ketajaman fikiran misalnya - antara faktor terpenting dalam kepimpinan - maka ia adalah satu keperluan untuk disumbangkan demi pengizzahan Islam. Bukan status sama rata mahupun KPI setara dengan lelaki yang dikejar. Namun, hanya mahu memberi yang terbaik untuk gerakan dakwah Islam, di mana KPInya adalah redha Allah selagimana tidak bertembung fitnah.

Alangkah indahnya apabila seorang suami mewaqafkan isterinya di jalan perjuangan di samping membantu memimpin dan memperkukuhkan peranannya sebagai mujahidah kerana Allah. Namun, sekiranya berlaku dilema di mana terdapat pengabaian terhadap tanggungjawab sebenar di rumah sehingga menimbulkan fitnah seperti anak-anak dan suami apabila sudah berkahwin, atau dengan ibu bapa pada yang masih bujang, pulanglah dan pulihkan keadaan. Lunaskan kewajipan yang menuntun ke arah redhaNya terlebih dahulu kemudian baru diseimbangkan dengan tugasan dakwah yang merupakan bonus perjuangan.

Memang penat membahagi-baagi diri kepada semua komitmen.

Benarlah kata hukama' - kerehatan sebenar adalah di syurga kelak . Begitu juga waktu bercinta bersungguh-sungguh .Wallahu'alam.

3 comments:

Nurhaslin Zaharudin November 6, 2009 3:48 PM  

kalau SIS yg baca ni pasti menarik

ct,  November 12, 2009 11:55 PM  

sudah lama tidak ketemu..akhirnya ketemu jua.. makin manis sahabat ana nie.. nanti ct baca blog ni ye.. tgk tajuk pun dah tetarik.. :)

AndrikPrastiyono.Net November 20, 2009 4:03 PM  

ini blog khusus srikandi2 ya ? kalau gatotkaca boleh mampir gak ?

salam kenal

ISTIMEWA UNTUK GERAKAN MAHASISWA ISLAM!!

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP